Tuesday 25 October 2011

Gua Angin, Sarawak

Gua Angin ialah sebuah gua semula jadi yang terletak kira-kira 5 km di barat daya pekan Bau, di Bahagian Kuching, Sarawak, bersebelahan dengan Sungai Sarawak. Pekan Bau terletak kira-kira 45 minit memandu dari bandar raya Kuching, dalam perjalanan ke arah pekan Serikin di sempadan Sarawak-Indonesia. Selain Gua Angin, terdapat beberapa lagi gua lain di daerah Bau ini seperti Gua Bunian atau Gua Pari-Pari. Dahulunya, gua-gua ini dihuni oleh manusia pada zaman dahulu kala dan sumber aliran air boleh ditemui di dalam gua ini. Kini gua-gua ini didiami ribuan kelawar dan burung layang-layang.

Menurut sejarah, Gua Angin mendapat nama tersebut kerana terowong di dalam gua tersebut menjadi laluan angin sepoi sepoi bahasa yang keluar masuk dari satu pintu masuk gua ke pintu masuk yang lain. Terdapat beberapa pintu masuk utama di Gua Angin, walau bagaimanapun salah satu laluan di sebelah selatan gua, iaitu bersebelahan dengan Sungai Sarawak ditutup buat masa ini kerana batu penyokong jambatan kayu yang merentasi gua telah runtuh dan merosakkan struktur jambatan tersebut. Bentuk stalagmit, stalagtit dan formasi batu kapur yang lain di dalam Gua Angin dikatakan terhasil sejak 60 juta tahun yang lalu. Bentuknya bermacam, malah ada yang menyerupai seperti kepala buaya dan juga rangka buaya! Di luar Gua Angin, terdapat juga pondok Baruk bagi tempat pelancong berehat. Pelancong juga boleh mandi di Sungai Sarawak yang berhampiran gua. Airnya agak deras tetapi cetek dan selamat untuk mandi. Terdapat kemudahan bilik bersalin untuk mereka yang mandi di Sungai Sarawak, tandas, dan gerai makanan dan minuman berhampiran situ.

Pulau Mabul, Sabah

Pulau Mabul terletak di pesisir pantai tenggara negeri Sabah, Malaysia. Pulau ini terkenal kerana dekat dengan pulau Sipadan. Pulau ini kecil dan melengkung dan terdapat banyak batu karang pelbagai jenis. Batu karang menjadi tumpuan spesies ikan marin kerana banyaknya makanan plankton . Dasarnya tidak dalam, sesuai dengan kejadiannya sebagai pentas benua di Laut Sulawesi. Kedalaman sekitar 25 hingga 30 meter sesuai untuk aktiviti 'scuba diving'. Banyak sekali hidupan eksotik seperti sotong kurita, cephalopods, udang geragau, ketam, rumpai laut lain.


Anda boleh menaiki kapal terbang kecil dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Tawau. Dari Tawau, ada bot laju yang boleh disewa ke pulau Mabul. Peralatan menyelam boleh disewa di sekitar bandar Tawau dengan harga berpatutan.

Pulau Tioman, Pahang

Pulau Tioman merupakan sebuah pulau yang terkenal dikalangan peminat sukan menyelam. Pulau Tioman memiliki keluasan 39 km panjang dan 12 km lebar.Pulau Tioman merupakan sebuah pulau di sebelah timur Semenanjung Malaysia,di antara sempadan Pahang dan negeri Johor. Pulau Tioman sebenarnya terletak dalam pentadbiran negeri Pahang Darul Makmur. Bentuk Pulau Tioman dari udara seperti seketul paha ayam. 70 km dari Mersing, Johor. Mersing ialah jeti yang paling popular di kalangan pelancong. 36 batu nautika dari jeti Tanjung Gemok, Kuala Rompin di Pahang.

Jumlah pelancong sebulan antara 800-1200 orang pada tahun 1998. Pelancong datang dari Jerman, Perancis, Itali, England, Singapura dan lain-lain negara. Dalam setahun, 10,000 - 50,000 pelancong datang ke pulau ini. Pada tahun (2009) angaran pelancong yang berkunjung ke pulau ini meningkat. Jumlah pelancong sebulan mencecah 30,000 - 50,000 orang sebulan. Kebanyakan pelacong yang datang ke pulau ini berasal dari eropah. Tempat yang menjadi tumpuan ramai utk dikunjungi ialah Kg.Salang. Antara resort popular di Kampung Salang Salang Pusaka Resort, Salang Sayang Resort & Salang Indah Tioman, kebanyakkan resort diusahakan oleh penduduk Kampung Salang sendiri.

Menurut kisah dongeng yang dipercayai penduduk tempatan, Tioman berasal dari sepasang naga. Pada zaman dahulu kala, sepasang naga suami isteri (naga jantan dan naga betina) meninggalkan Tasik Chini ke laut melalui Sungai Pahang. Dalam perjalanan, naga ini tertinggal kain cindai lalu berpatah balik. Malangnya, waktu itu ayam telah berkokok. Naga ini pantang mendengar ayam berkokok. Oleh sebab melanggar pantang, naga betina bertukar menjadi pulau. Sementara naga jantan bertukar mrenjadi Gunung Nenek Semukut iaitu sebuah gunung yang terdapat di Pulau Tioman. Menurut kajian arkeologi oleh J. Collin pada tahun 1992, telah ditemui kuali dan seramik purba di Kampung Juara dan Teluk Nipah berhampiran dengan Kampung Mukut. Pada bulan Mei 1690, seorang pengembara bernama Dr. Kaempfer dalam dari perjalanan Batavia ke Ayuthia (Jakarta ke Thailand) pernah singgah di Pulau Tioman dan membuat catatan tentang keindahan Pulau Tioman. Terdapat kubur keramat Datuk Bukit di Bukit Datuk. Kubur keramat ini terletak berdekatan dengan Kampung Juara.

Taman Negara Endau-Rompin, Johor

Taman Negeri Endau-Rompin merupakan salah satu daripada sebilangan kecil hutan hujan tropika tanah pamah di Malaysia. Terletaknya di legeh Sungai Endau dan Sungai Rompin di Johor bersempadan dengan Pahang, kawasan ini yang seluas 50,000 hektar (500 kilometer persegi) dianggar berumur sekitar 250 juta tahun. Pelbagai jenis tumbuhan yang unik terdapat di sini seperti keruing, meranti, paku-pakis, periuk kera dan orkid hutan. Pada sekitar 1985, satu ekspedisi sains menemui 25 spesies tumbuhan yang baru. Di Taman Negara Endau-Rompin juga terdapat banyak hidupan liar seperti harimau, gajah dan babi hutan serta bilangan badak sumbu Sumatera yang terbesar di dunia. Spesies tempatan yang lain termasuk binturung (bear cat) dan Ungka Tangan Putih (white handed gibbon) yang merupakan spesies mawas yang tunggal di kawasan ini. Di sini juga terdapat pelbagai jenis serangga dan burung yang jarang ditemui di tempat lain.

Terdapat juga banyak air terjun dan denai kecil di Taman Negeri ini. Air Terjun Buaya Sangkut dengan ketinggian 120 meter merupakan kawasan air terjun yang paling cantik. Ia ada lima tingkat dan mampu mengalirkan empat perpuluhan lima juta liter air seminit. Kawasan ini juga penuh dengan mitos dan legenda dan telah menjadi sebuah kawasan rekreasi dan pelancongan yang mashyur di Malaysia. Ramai pelancong gemar menjejaki hutan ini, khususnya di habitat puak Jakun di mana mereka dapat mendengar cerita-cerita mitos hutan yang terpesona. Taman ini juga memberikan wawasan bernilai tentang budaya orang asli yang unik, teknik ketakatan serta kemahiran pemburuan dan pengesanan haiwan.

Perkhemahan merupakan penginapan yang paling popular. Terdapatnya empat tapak perkhemahan yang dapat menampung kira-kira 300 ratus orang, yakni di Kuala Jasin, Batu Hampar, Upeh Guling dan Kuala Marong. Pada waktu sekarang, Taman ini tengah merancang untuk memberikan lebih kemudahan kepada pelancong selaras dengan matlamat untuk membentukkan taman negara ini sebagai destinasi pelancong yang utama. Taman Negeri Endau-Rompin ditutup semasa musim hujan dari November sehingga Mac. Memancing ikan tidak dibenarkan pada musim ikan bertelur dari September hingga Oktober.

Pantai Cahaya Bulan, Kelantan


Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan, Malaysia. Ia terletak kira-kira 10 km dari Kota Bharu dan merupakan kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941. Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia II. Pada masa itu, askar tersebut sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.


Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan pokok kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini. Oleh itu Pantai Cahaya Bulan telah menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga-keluarga tempatan, khususnya pada hujung minggu. Pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk para pengunjung, terdapat pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan dan gerai, dan tandas awam. Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional . Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket, dan pembuatan layang-layang serta loyang.

Port Dickson, Negeri Sembilan

Port Dickson, atau PD merupakan sebuah bandar pantai dan daerah di Negeri Sembilan. Maksudnya Port Dickson terletak di tepi pinggir laut, berperanan sebagai pelabuhan untuk import dan eksport minyak, bijih timah, arang dan lain-lain keperluan. Ia ialah kawasan yang kedua terkecil di Negeri Sembilan. Port Dickson menawarkan pantai yang tidak terlalu jauh dari bandaraya untuk penduduk tempatannya relaks. Port Dickson juga merupakan tempat untuk berkelah, berenang dan sebagainya. Tidak jauh dari Port Dickson juga terdapat pantai seperti Teluk Kemang, Blue Lagoon dan Cape Rachado.

Port Dickson terkenal kerana adanya pantai yang panjang dan indah dari Janakuasa Elektrik Tuanku Jaafar hingga ke Pasir Panjang. Pantai Teluk Kemang yang cantik ialah di Batu 8 dan Batu 7. Pantainya landai, bersih, pasir putih halus dan dilengkapi dengan kedai makanan, bilik mandi dan tandas serta pondok-pondok rehat. Terdapat banyak hotel, chalet dan resort dibina di Teluk Kemang dan di Port Dickson. Antaranya ialah Ilham Resort, PD Marina, Tanjung Tuan Beach Resort, Guoman,Tiara Resort, Corus Paradise Resort, Glory Beach Resort, Residensi Hotel, Hotel Costa Rica dan Hotel Sri Malaysia. Sewa hotel dari RM90.00 sahaja.

Perigi Hang Tuah, Melaka

Perigi Hang Tuah terletak di kampung Duyung, Melaka. Perigi  ini dikatakan mempunyai kaitan dengan Hang Tuah seorang pahlawan yang terkemuka di Nusantara ini di Zaman Kesultanan Melayu Melaka (1398 – 1511). Hang Tuah Yang dilahirkan di Kampung Duyung ini dipercayai menggali sendiri perigi ini untuk kegunaannya. Pada asalnya perigi ini adalah kecil tetapi lama kelamaan menjadi besar dan dalam. 


Perigi ini dikatakan tidak pernah kering, walaupun di musim kemarau panjang. Airnya sentiasa jernih dan dikatakan boleh menyembuhkan penyakit.





Kelip-Kelip Kg. Kuantan, Selangor

    Kampung Kuantan terkenal dengan Kelip-kelip. Kawasan hinggapan yang banyak hanya terdapat di sini. Malah ada pendapat menyatakan keajaiban Kelip-kelip hanya terdapat di dua tempat sahaja di dunia ini dan salah satunya ada di Kampung Kuantan. Pengembaraaan kawasan Kelip-kelip bermula pada awal tahun 1970 oleh seorang pengusaha tempatan yang melihat potensi komersil keajaiban ini. Kini pengembaraan ini telah diamanahkan kepada Majlis Daerah Kuala Selangor dan ia telah berkembang dengan pesatnye dengan penambahan sebanyak 27 sampan yang disediakan untuk menampung pengunjung. Hari ini Kampung Kuantan terkenal dengan keajaiban Kelip-kelip bukan sahaja kepada pengunjung tempatan malah di serata dunia.


Kelip-Kelip Dan Pohon Berembang

Kelip-kelip adalah sejenis serangga dari kumpulan kumbang. Specis jenis 'Pteroptyx tener' adalah sepsis yang terbanyak sekali terdapat di Kampung Kuantan. Keunikan yang ada pada Kelip-kelip ini adalah pada ekornya, yang mengeluarkan kelipan cahaya. Yang menjadikan Kelip-kelip ini lebih unik lagi ialah kelipan cahaya yang dikeluarkan oleh serangga ini adalah serentak pada setiap masa iaitu pada kadar 3 kelipan sesaat. Dalam ribuan Kelip-kelip ini cahayanya bagaikan satu rentak yang bercahaya. Kelip-kelip berukuran cuma 6mm panjang. Kelip-kelip jantan mengeluarkan cahaya yang lebih terang berbanding yang betina untuk tujuan menarik perhatian Kelip-kelip betina. Jangka hayat Kelip-kelip ialah selama 2 hingga 3 bulan. 

Pokok Berembang atau 'Sonneratia Caseolaris' adalah sejenis pokok bakau yang tumbuh liar di tebing Sungai Selangor. Ia memerlukan keadaan cuaca yang lembap dan persekitaran berpaya. Pokok berembang penting kepada Kelip-kelip sebagai sumber makanan. Selain daripada itu, pokok Berembang juga penting sebagai habitat serta bertindak sebagai penapis kotoran dan racun dan mengeluarkan air bersih untuk hidupan yang terdapat di dalam sungai.

Kampung Kuantan

Kampung Kuantan adalah sebuah perkampungan kecil yang dikelilingi oleh pohon-pohon kelapa dan kelapa sawit. Kampung ini terletak kira-kira 56km dari Kuala Lumpur dan 9km dari Kuala Selangor. Kampung yang indah dan permai ini sangat sesuai untuk mereka yang inginkan suasana tenang untuk beristirehat and melapangkan fikiran, jauh daripada hiruk-pikuk dan kesibukan kota. Di kawasan berhampiran, terdapat beberapa tempat pelancongan yang menarik seperti Bukit Malawati yang bersejarah dan Taman Alam Kuala Selangor yang mempunyai pelbagai spesis burung-burung. Terdapat juga sebuah pekan kecil untuk persinggahan iaitu Sri Segambut yang dikelilingi oleh kawasan sawah padi. Akhir sekali, terdapat juga kawasan pantai iaitu Pantai Remis yang terkenal dengan keindahan pantainya yang cantik dan kepelbagaian makanan lautnya yang lazat.

Sistem Pengangkutan Ke Kampung Kuatan

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampung Kuantan mengambil masa selama 45 minit. Terdapat juga beberapa agensi pelancongan mengadakan pakej perjalanan dan lawatan ke Kampung Kuantan serta kawasan pelancongan di persekitaran Kuala Selangor. Perkhidmatan teksi juga ada disediakan dari bandar Kuala selangor ke kampung Kuantan dengan kadar RM40.00 untuk satu perjalanan (4 orang). Walaubagaimanapun, beberapa tempat penginapan ada menyediakan kemudahan pengangkutan untuk ke Kampung Kuantan.

Pihak pentadbir kawasan Kelip-kelip menyediakan kemudahan tempat letak kereta secara percuma, gerai-gerai makan dan gerai cenderahati. Terdapat juga taman permainan khusus untuk mereka yang membawa bersama anak-anak.Menyusuri sungai dengan menggunakan cara tradisional boleh memberi kepuasan kepada pengunjung disamping melihat keindahan Kelip-kelip yang menakjubkan. Penggunaan sampan juga dapat mengelakkan pencemaran bunyi dan asap yang boleh mengganggu habitat Kelip-kelip.

Pengunjung boleh membuat sebarang pertanyaan dan tempahan dengan menghubungi :-

Majlis Daerah Kuala Selangor
Jalan Semarak
45000 Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan
E-mail : ydp@mdks.gov.my / sumd@mdks.gov.my / msaad@mdks.gov.my
Tel : 03-32891439 / 1549 Fax : 03 3289 1101

Menara Jam Condong, Teluk Intan, Perak

Menara Jam Condong adalah sebuah menara jam yang terletak di Teluk Intan, Perak. Ia menjadi mercu tanda bagi bandar Teluk Intan sejak beberapa lama. Keunikan menara ini adalah ia menyerupai Menara Pisa, Itali. Menara ini dibina pada tahun 1885 oleh Leong Choon Choong. Ia memiliki ketinggian setiggi 85 kaki dan ada 110 anak tangga. Walaupun telah berusia lebih 100 tahun, ia masih berdiri kukuh. Menara ini sebenarnya merupakan takungan air sebelum adanya tangki air di Changkat Jong. Bangunan tiga tingkat ini dilengkapi dengan jam besar dan mengikut seni bina menara-menara di China. Kini menara ini tidak digunakan lagi dan hanya menjadi tarikan pelancong yang mengunjungi bandar Teluk Intan. Di bahagian bawahnya dihiasi dengan landskap yang indah seperti pasu bunga, lantai marmar dan kerusi rehat untuk bersantai seisi keluarga.

Bukit Bendera, Pulau Pinang

Bukit Bendera merupakan sebuah kawasan Parlimen di negeri Pulau Pinang, negara Malaysia. Negeri Pulau Pinang terletak diantara negeri Kedah dengan negeri Perak di utara Semenanjung Malaysia. Berada pada ketinggian lapan ratus tiga puluh meter di atas Georgetown, puncak Bukit Bendera (Bahasa Inggeris: Penang Hill) mempunyai suhu yang dingin dan panorama yang mengasyikkan. Secara umumnya, ia lima darjah Celsius lebih dingin daripada paras laut. 


Dari kemuncak, para pelancong boleh ada penglihatan yang menakjubkan ke bawah seluruh pulau bahkan juga ke tanah utama di seberang laut. Ia terdapat taman yang menyenangkan, pondok berfesyen tua, restoran dan penginapan, sebuah kuil Hindu, seta Masjid Muslim di puncaknya. 

Bukit Pulau Pinang sebenarnya digelar Bukit Strawberi (Strawberry Hill) kerana ia juga merupakan pengeluar strawberi. Bentuk muka buminya dan suhu yang dingin amat sesuai bagi penanaman strawberi. Rintisan yang mencapai kemuncaknya mudah melalui Taman Botanikal Air Terjun dengan jalan kaki. Nama rasmi bukit ini adalah Bukit Bendera Pulau Pinang (Flag Hill), namun ia tetap secara umumnya dipanggil Bukit Pulau Pinang.

Gua Kelam, Perlis

       Gua Kelam merupakan salah satu daripada gua batu kapur Formasi Setul yang berada dalam Banjaran Nakawan dan telah diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis sejak 1997. Gua Kelam juga terletak di dalam Hutan Simpan Wang Mu dengan keluasan 2000 hektar dan telah diwartakan sebahagian daripada Taman Negeri Perlis pada 3 Julai 2008 di bawah Seksyen 10(1)Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1987. Pekan yang berdekatan dengan Gua Kelam ialah Pekan Kaki Bukit sejauh 500 meter.

       Jabatan Perhutanan Negeri Perlis telah mendapat peruntukan sebanyak RM 9 juta di bawah Rancangan Malaysia ke Lapan (RMKe-8) dari Kementerian Pelancongan Malaysia untuk membangunkan kawasan Gua Kelam dan menjadikannya sebagai Muzium Semulajadi untuk aktiviti pembelajaran. Operasi Gua Kelam bermula pada pertengahan tahun 2007 dan dibuka sepenuhnya kepada umum pada 1 Januari 2008. Gua Kelam  terkenal kepada umum bermula dengan penemuan bijih timah bermutu tinggi di dalam gua oleh pelombong-pelombong cina di pertengahan abad yang lalu. 

Menurut sejarah, nama Gua Kelam adalah gelaran yang telah diberikan oleh pelombong-pelombong bijih sempena kegelapan yang wujud di dalam gua itu sendiri. Pelombong-pelombong terpaksa menggunakan lampu karbid untuk menerangi kawasan dalam gua sepanjang menjalankan aktiviti mengeluarkan bijih timah. Pengurusan Gua Kelam telah diletakkan dibawah Unit Taman Negeri ,Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan beroperasi pada hari Selasa sehingga hari Ahad bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Pada hari Isnin pula operasi Gua Kelam ditutup bagi menjalankan kerja-kerja penyelengaraan di dalam bangunan dan sekitar kawasan. Seramai 8 orang pekerja telah ditugaskan disini bagi memastikan perjalanan Gua Kelam berjalan lancar.


       Semenjak pembukaan Gua Kelam pada awal tahun 2008, tempat ini semakin kerap dilawati oleh pelancong dalam dan luar negerayang tertarik dengan sejarah perlombongan dalam gua dan masih terpelihara. Sejumlah lebih 3000 pelawat telah dicatatkan hanya dalam masa dua bulan iaitu antara bulan Febuari dan Mac 2008. Sebagai tambahan, Gua Kelam menerima kehadiran 20 kumpulan pelawat daripada peringkat sekolah rendah sehingga ke institut pengajian tinggi. Para pelawat yang ingin ke sini boleh memandu kenderaan sendiri atau mendapatkan perkhidmatan teksi dan bas dari Kangar terus ke Gua Kelam yang mengambil masa selama 30 minit. Kadar bayaran yang dikenakan juga adalah sangat berpatutan dan murah.

Maklumat lanjut mengenai Gua Kelam, Perlis, sila layari: http://www.perlisforestry.gov.my

Pulau Redang, Terengganu

Pulau Redang yang terletak di perairan Laut China Selatan merupakan salah satu daripada sembilan buah pulau yang membentuk taman laut Kepulauan Redang, di negeri Terengganu, Malaysia, serta tapak pemuliharaan penyu yang penting. Perairan di sekeliling Pulau Redang juga mengandungi dua buah bangkai kapal yang bersejarah, iaitu H.M.S Putera Wales dan H.M.S Repulse yang telah ditenggelamkan di sini pada permulaan Perang Dunia II dan mewujudkan suasana bagi pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Pulau-pulau lain yang berhampiran termasuk Pulau Lang Tengah, Pulau Perhentian Besar, Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Bidong.


Pulau Redang adalah salah satu pulau yang terbesar dan yang tercantik di pantai timur Malaysia. Pulau ini kini merupakan sebuah pulau peranginan yang amat popular di kalangan orang Malaysia, dengan kebanyakan mereka yang datang melalui pakej pelancongan. Salah satu pantai yang paling cantik di pulau ini ialah Pasir Panjang. Pasirnya putih dan airnya jernih, dengan batu karang dan ikan terdapat hanya beberapa meter dari tepi pantai. Antara kemudahan di pulau ini ialah kegiatan snorkel dan junam. Pulau Redang boleh dikunjungi melalui Merang dengan bot-bot yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat peranginan di sini. Jaraknya dari jeti Kampung Penarik ialah 30 kilometer nautika atau Kuala Trengganu melalui Jeti Shahbandar dengan menggunakan feri. Terdapat juga sebuah lapangan terbang kecil di pulau ini.

Pulau Dayang Bunting, Langkawi, Kedah

       Pulau Dayang Bunting merupakan pulau yang terbesar selepas Langkawi di Kedah. Ia terletak 17.6 KM atau kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot dari jeti Kuah, Langkawi. Jalan perhubungan hanya melalui bot laju yang boleh disewa di Jeti Pekan Kuah, Pulau Langkawi dengan kadar pakej RM45.00 seorang. Pulau ini mendapat nama daripada kisah gergasi sakti yang bernama Dayang Bunting. Pulau ini seimbas lalu menyerupai gergasi hamil yang terlena. Dalam perjalanan ke Tasik Dayang Bunting, kita akan lihat bentuk gunung yang menyerupai seorang perempuan sedang terbaring dengan bentuk kepala , dada dan perut yang sedang bunting. Antara tempat yang menarik di sini ialah Tasik Dayang Bunting dan Gua Langsuir. Gua Langsuir terletak di tengah perjalanan ke Tasik Dayang Bunting. Gua ini adalah akibat kesan hakisan ombak laut jutaan tahun lampau. Terdapat bentuk-bentuk tergantung iaitu stalagtik yang mempunyai pelbagai bentuk - lalu dinamakan langsuir.

Di tengah pulau Dayang Bunting pula terdapat tasik air tawar yang berkeluasan 3 padang bola sepak. Sebuah jeti telah dibina di tepian pulau Dayang Bunting untuk bot-bot pelancong singgah. Tangga-tangga dibina ke atas dan kemudian kemudian menurun ke bawah - jaraknya 1 km sahaja . Sebuah pelantar dibina di tepi tasik dan disediakan jaket keselamatan dan bot berdayung dengan kaki dengan sewaan RM15.00 . air tasiknya hijau jernih dan menimbulkan panorama yang menarik.