Tuesday 25 October 2011

Gua Kelam, Perlis

       Gua Kelam merupakan salah satu daripada gua batu kapur Formasi Setul yang berada dalam Banjaran Nakawan dan telah diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis sejak 1997. Gua Kelam juga terletak di dalam Hutan Simpan Wang Mu dengan keluasan 2000 hektar dan telah diwartakan sebahagian daripada Taman Negeri Perlis pada 3 Julai 2008 di bawah Seksyen 10(1)Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1987. Pekan yang berdekatan dengan Gua Kelam ialah Pekan Kaki Bukit sejauh 500 meter.

       Jabatan Perhutanan Negeri Perlis telah mendapat peruntukan sebanyak RM 9 juta di bawah Rancangan Malaysia ke Lapan (RMKe-8) dari Kementerian Pelancongan Malaysia untuk membangunkan kawasan Gua Kelam dan menjadikannya sebagai Muzium Semulajadi untuk aktiviti pembelajaran. Operasi Gua Kelam bermula pada pertengahan tahun 2007 dan dibuka sepenuhnya kepada umum pada 1 Januari 2008. Gua Kelam  terkenal kepada umum bermula dengan penemuan bijih timah bermutu tinggi di dalam gua oleh pelombong-pelombong cina di pertengahan abad yang lalu. 

Menurut sejarah, nama Gua Kelam adalah gelaran yang telah diberikan oleh pelombong-pelombong bijih sempena kegelapan yang wujud di dalam gua itu sendiri. Pelombong-pelombong terpaksa menggunakan lampu karbid untuk menerangi kawasan dalam gua sepanjang menjalankan aktiviti mengeluarkan bijih timah. Pengurusan Gua Kelam telah diletakkan dibawah Unit Taman Negeri ,Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan beroperasi pada hari Selasa sehingga hari Ahad bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Pada hari Isnin pula operasi Gua Kelam ditutup bagi menjalankan kerja-kerja penyelengaraan di dalam bangunan dan sekitar kawasan. Seramai 8 orang pekerja telah ditugaskan disini bagi memastikan perjalanan Gua Kelam berjalan lancar.


       Semenjak pembukaan Gua Kelam pada awal tahun 2008, tempat ini semakin kerap dilawati oleh pelancong dalam dan luar negerayang tertarik dengan sejarah perlombongan dalam gua dan masih terpelihara. Sejumlah lebih 3000 pelawat telah dicatatkan hanya dalam masa dua bulan iaitu antara bulan Febuari dan Mac 2008. Sebagai tambahan, Gua Kelam menerima kehadiran 20 kumpulan pelawat daripada peringkat sekolah rendah sehingga ke institut pengajian tinggi. Para pelawat yang ingin ke sini boleh memandu kenderaan sendiri atau mendapatkan perkhidmatan teksi dan bas dari Kangar terus ke Gua Kelam yang mengambil masa selama 30 minit. Kadar bayaran yang dikenakan juga adalah sangat berpatutan dan murah.

Maklumat lanjut mengenai Gua Kelam, Perlis, sila layari: http://www.perlisforestry.gov.my

No comments:

Post a Comment