Tuesday 25 October 2011

Gua Angin, Sarawak

Gua Angin ialah sebuah gua semula jadi yang terletak kira-kira 5 km di barat daya pekan Bau, di Bahagian Kuching, Sarawak, bersebelahan dengan Sungai Sarawak. Pekan Bau terletak kira-kira 45 minit memandu dari bandar raya Kuching, dalam perjalanan ke arah pekan Serikin di sempadan Sarawak-Indonesia. Selain Gua Angin, terdapat beberapa lagi gua lain di daerah Bau ini seperti Gua Bunian atau Gua Pari-Pari. Dahulunya, gua-gua ini dihuni oleh manusia pada zaman dahulu kala dan sumber aliran air boleh ditemui di dalam gua ini. Kini gua-gua ini didiami ribuan kelawar dan burung layang-layang.

Menurut sejarah, Gua Angin mendapat nama tersebut kerana terowong di dalam gua tersebut menjadi laluan angin sepoi sepoi bahasa yang keluar masuk dari satu pintu masuk gua ke pintu masuk yang lain. Terdapat beberapa pintu masuk utama di Gua Angin, walau bagaimanapun salah satu laluan di sebelah selatan gua, iaitu bersebelahan dengan Sungai Sarawak ditutup buat masa ini kerana batu penyokong jambatan kayu yang merentasi gua telah runtuh dan merosakkan struktur jambatan tersebut. Bentuk stalagmit, stalagtit dan formasi batu kapur yang lain di dalam Gua Angin dikatakan terhasil sejak 60 juta tahun yang lalu. Bentuknya bermacam, malah ada yang menyerupai seperti kepala buaya dan juga rangka buaya! Di luar Gua Angin, terdapat juga pondok Baruk bagi tempat pelancong berehat. Pelancong juga boleh mandi di Sungai Sarawak yang berhampiran gua. Airnya agak deras tetapi cetek dan selamat untuk mandi. Terdapat kemudahan bilik bersalin untuk mereka yang mandi di Sungai Sarawak, tandas, dan gerai makanan dan minuman berhampiran situ.

Pulau Mabul, Sabah

Pulau Mabul terletak di pesisir pantai tenggara negeri Sabah, Malaysia. Pulau ini terkenal kerana dekat dengan pulau Sipadan. Pulau ini kecil dan melengkung dan terdapat banyak batu karang pelbagai jenis. Batu karang menjadi tumpuan spesies ikan marin kerana banyaknya makanan plankton . Dasarnya tidak dalam, sesuai dengan kejadiannya sebagai pentas benua di Laut Sulawesi. Kedalaman sekitar 25 hingga 30 meter sesuai untuk aktiviti 'scuba diving'. Banyak sekali hidupan eksotik seperti sotong kurita, cephalopods, udang geragau, ketam, rumpai laut lain.


Anda boleh menaiki kapal terbang kecil dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Tawau. Dari Tawau, ada bot laju yang boleh disewa ke pulau Mabul. Peralatan menyelam boleh disewa di sekitar bandar Tawau dengan harga berpatutan.

Pulau Tioman, Pahang

Pulau Tioman merupakan sebuah pulau yang terkenal dikalangan peminat sukan menyelam. Pulau Tioman memiliki keluasan 39 km panjang dan 12 km lebar.Pulau Tioman merupakan sebuah pulau di sebelah timur Semenanjung Malaysia,di antara sempadan Pahang dan negeri Johor. Pulau Tioman sebenarnya terletak dalam pentadbiran negeri Pahang Darul Makmur. Bentuk Pulau Tioman dari udara seperti seketul paha ayam. 70 km dari Mersing, Johor. Mersing ialah jeti yang paling popular di kalangan pelancong. 36 batu nautika dari jeti Tanjung Gemok, Kuala Rompin di Pahang.

Jumlah pelancong sebulan antara 800-1200 orang pada tahun 1998. Pelancong datang dari Jerman, Perancis, Itali, England, Singapura dan lain-lain negara. Dalam setahun, 10,000 - 50,000 pelancong datang ke pulau ini. Pada tahun (2009) angaran pelancong yang berkunjung ke pulau ini meningkat. Jumlah pelancong sebulan mencecah 30,000 - 50,000 orang sebulan. Kebanyakan pelacong yang datang ke pulau ini berasal dari eropah. Tempat yang menjadi tumpuan ramai utk dikunjungi ialah Kg.Salang. Antara resort popular di Kampung Salang Salang Pusaka Resort, Salang Sayang Resort & Salang Indah Tioman, kebanyakkan resort diusahakan oleh penduduk Kampung Salang sendiri.

Menurut kisah dongeng yang dipercayai penduduk tempatan, Tioman berasal dari sepasang naga. Pada zaman dahulu kala, sepasang naga suami isteri (naga jantan dan naga betina) meninggalkan Tasik Chini ke laut melalui Sungai Pahang. Dalam perjalanan, naga ini tertinggal kain cindai lalu berpatah balik. Malangnya, waktu itu ayam telah berkokok. Naga ini pantang mendengar ayam berkokok. Oleh sebab melanggar pantang, naga betina bertukar menjadi pulau. Sementara naga jantan bertukar mrenjadi Gunung Nenek Semukut iaitu sebuah gunung yang terdapat di Pulau Tioman. Menurut kajian arkeologi oleh J. Collin pada tahun 1992, telah ditemui kuali dan seramik purba di Kampung Juara dan Teluk Nipah berhampiran dengan Kampung Mukut. Pada bulan Mei 1690, seorang pengembara bernama Dr. Kaempfer dalam dari perjalanan Batavia ke Ayuthia (Jakarta ke Thailand) pernah singgah di Pulau Tioman dan membuat catatan tentang keindahan Pulau Tioman. Terdapat kubur keramat Datuk Bukit di Bukit Datuk. Kubur keramat ini terletak berdekatan dengan Kampung Juara.

Taman Negara Endau-Rompin, Johor

Taman Negeri Endau-Rompin merupakan salah satu daripada sebilangan kecil hutan hujan tropika tanah pamah di Malaysia. Terletaknya di legeh Sungai Endau dan Sungai Rompin di Johor bersempadan dengan Pahang, kawasan ini yang seluas 50,000 hektar (500 kilometer persegi) dianggar berumur sekitar 250 juta tahun. Pelbagai jenis tumbuhan yang unik terdapat di sini seperti keruing, meranti, paku-pakis, periuk kera dan orkid hutan. Pada sekitar 1985, satu ekspedisi sains menemui 25 spesies tumbuhan yang baru. Di Taman Negara Endau-Rompin juga terdapat banyak hidupan liar seperti harimau, gajah dan babi hutan serta bilangan badak sumbu Sumatera yang terbesar di dunia. Spesies tempatan yang lain termasuk binturung (bear cat) dan Ungka Tangan Putih (white handed gibbon) yang merupakan spesies mawas yang tunggal di kawasan ini. Di sini juga terdapat pelbagai jenis serangga dan burung yang jarang ditemui di tempat lain.

Terdapat juga banyak air terjun dan denai kecil di Taman Negeri ini. Air Terjun Buaya Sangkut dengan ketinggian 120 meter merupakan kawasan air terjun yang paling cantik. Ia ada lima tingkat dan mampu mengalirkan empat perpuluhan lima juta liter air seminit. Kawasan ini juga penuh dengan mitos dan legenda dan telah menjadi sebuah kawasan rekreasi dan pelancongan yang mashyur di Malaysia. Ramai pelancong gemar menjejaki hutan ini, khususnya di habitat puak Jakun di mana mereka dapat mendengar cerita-cerita mitos hutan yang terpesona. Taman ini juga memberikan wawasan bernilai tentang budaya orang asli yang unik, teknik ketakatan serta kemahiran pemburuan dan pengesanan haiwan.

Perkhemahan merupakan penginapan yang paling popular. Terdapatnya empat tapak perkhemahan yang dapat menampung kira-kira 300 ratus orang, yakni di Kuala Jasin, Batu Hampar, Upeh Guling dan Kuala Marong. Pada waktu sekarang, Taman ini tengah merancang untuk memberikan lebih kemudahan kepada pelancong selaras dengan matlamat untuk membentukkan taman negara ini sebagai destinasi pelancong yang utama. Taman Negeri Endau-Rompin ditutup semasa musim hujan dari November sehingga Mac. Memancing ikan tidak dibenarkan pada musim ikan bertelur dari September hingga Oktober.

Pantai Cahaya Bulan, Kelantan


Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan, Malaysia. Ia terletak kira-kira 10 km dari Kota Bharu dan merupakan kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941. Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia II. Pada masa itu, askar tersebut sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.


Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan pokok kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini. Oleh itu Pantai Cahaya Bulan telah menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga-keluarga tempatan, khususnya pada hujung minggu. Pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk para pengunjung, terdapat pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan dan gerai, dan tandas awam. Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional . Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket, dan pembuatan layang-layang serta loyang.

Port Dickson, Negeri Sembilan

Port Dickson, atau PD merupakan sebuah bandar pantai dan daerah di Negeri Sembilan. Maksudnya Port Dickson terletak di tepi pinggir laut, berperanan sebagai pelabuhan untuk import dan eksport minyak, bijih timah, arang dan lain-lain keperluan. Ia ialah kawasan yang kedua terkecil di Negeri Sembilan. Port Dickson menawarkan pantai yang tidak terlalu jauh dari bandaraya untuk penduduk tempatannya relaks. Port Dickson juga merupakan tempat untuk berkelah, berenang dan sebagainya. Tidak jauh dari Port Dickson juga terdapat pantai seperti Teluk Kemang, Blue Lagoon dan Cape Rachado.

Port Dickson terkenal kerana adanya pantai yang panjang dan indah dari Janakuasa Elektrik Tuanku Jaafar hingga ke Pasir Panjang. Pantai Teluk Kemang yang cantik ialah di Batu 8 dan Batu 7. Pantainya landai, bersih, pasir putih halus dan dilengkapi dengan kedai makanan, bilik mandi dan tandas serta pondok-pondok rehat. Terdapat banyak hotel, chalet dan resort dibina di Teluk Kemang dan di Port Dickson. Antaranya ialah Ilham Resort, PD Marina, Tanjung Tuan Beach Resort, Guoman,Tiara Resort, Corus Paradise Resort, Glory Beach Resort, Residensi Hotel, Hotel Costa Rica dan Hotel Sri Malaysia. Sewa hotel dari RM90.00 sahaja.

Perigi Hang Tuah, Melaka

Perigi Hang Tuah terletak di kampung Duyung, Melaka. Perigi  ini dikatakan mempunyai kaitan dengan Hang Tuah seorang pahlawan yang terkemuka di Nusantara ini di Zaman Kesultanan Melayu Melaka (1398 – 1511). Hang Tuah Yang dilahirkan di Kampung Duyung ini dipercayai menggali sendiri perigi ini untuk kegunaannya. Pada asalnya perigi ini adalah kecil tetapi lama kelamaan menjadi besar dan dalam. 


Perigi ini dikatakan tidak pernah kering, walaupun di musim kemarau panjang. Airnya sentiasa jernih dan dikatakan boleh menyembuhkan penyakit.